Thursday 29 November 2012

                                            Roti bun inti sardin dan roti sosej

Sunday 4 November 2012

Biskut Tart Buah-buahan

Biskut Tart buah-buahan sesuai untuk dibuat Hantaran Pertunangan, Hantaran Perkahwinan, Door gift pada hari perkahwinan dan lain-lain. Harga satu set biskut ini RM 50.00. Penghantaran melalui pos tidak digalakkan.Tiada penghantaran dari rumah kerumah. Sendiri datang ambil. Hubungi saya jika berminat dengan biskut Tart Buah-buahan - 019-4794998



ACAR BUAH ONLine


  • Harga satu bekas seperti gambar tertera diatas RM 6.00. Berat bersih 350g. Penghantaran melalui pos akan dicas mengikut berat. TIADA Penghantaran dari rumah ke rumah.Sesiapa berminat untuk merasa acar buatan orang Utara sila PM atau hubungi di talian berikut: 019-4794998






ACAR BUAH-BUAHAN 

Bahan-bahan :

10 biji buah limau jeruk
2 keping lobak masin (potong dadu)
15 ulas bawang putih
10 ulas bawang merah
20 biji cili padi
30 biji bidara jeruk(warna hijau, merah, kuning)
1cawan cuka - boleh masuk cuka lebih ikut citarasa
1 camca besar gula
2 inci halia (potong halus memanjang)
10 biji kurma( 5 biji di blend) 
100 g kismis
1 camca teh biji sawi
10 biji cili kering - diblend
3 ulas bawang merah -diblend
2 ulas bawang putih - diblend
2 hiris halia - diblend
1 cawan minyak masak - boleh masuk minyak lebih jika suka
garam jika nak rasa masin

Cara-cara memasak:

1) Goreng cili kering, bawang merah, bawang putih (bahan yang hendak dblend) tanpa minyak hingga kekuningan. lepas itu baru diblend.

2) Panaskan minyak. Tumis bahan yang diblend tadi hingga naik minyak. Masuk semua buah-buahan jeruk, cili padi, bawang, kurma yang dibuang biji serta kurma yang telah diblend.

3)Masukkan cuka, garam, gula. Masukkan sedikit air supaya tidak terlalu pekat ketika masak acar.Sesuaikan rasa. Simpan dalam bekas yang cukup kering.

perhatian:

Jika mahu masukkan buah-buahan lain pun boleh. Ikut citarasa


Tuesday 23 October 2012

Agar-Agar kering dalam proses pengeringan








Pagi tadi saya siapkan agar-agar kering guna resepi dalam buku resepi yang saya beli. Saya betul-betul terkilan dengan penulis buku resepi itu. Hampeh punya resepi. Penipu besar, mujur saya tahu juga pasal masak memasak ni. Mujur saya ada terasa keliru dengan resepi tu. Ada ke patut 100gram agar-agar cair dengan 1liter air. macamana la orang yang baru belajar nak buat agar-agar tu, mesti kantoi punya...

Biskut Tart Buah-buahan
    

Hari ini aku sudah siapkan satu set biskut tart buah-buahan.Saja aku siapkan satu set unuk promote kepada kawan-kawan. Kalau-kalau ada orang berminat hendak buat hantaran atau door gift pada hari kenduri kahwin

Tuesday 16 October 2012

Hasil jualan yang pertama


         Aku ada membeli E- Book secara online mengenai Veggy Fruity Cookies. Gambar yang ada dalam iklan youtube sangat menarik. Aku telah mencuba membuat biskut tu. Permulaan tu biskut aku buat yang simple aja. Cantik dan cute sangat. Buat masa ni aku rasa tidak rugi aku melangan E-book tersebut kerana aku dah dapat pulangan hasil pelaburan aku tersebut...cuma kini aku perlu giat promote kepada pelangan....Buat masa ini sambutan dari pelangan masih kurang...minda masih tertutup lagi...



Veggy Fruity Cookies

Aku selalu buka facebook sambil like2 kawan-kawan punya tag. Satu hari salah seorang kawan tag gambar Veggy Fruity cookies. Sejak dari hari tu aku jatuh cinta dengan VFC. Aku cuba minta resepi dari kawan tersebut tetapi dia tak layan. Dia suruh aku masuk kelas dia untuk belajar buat biskut tu. Aku teringin sangat nak belajar tapi apa kan daya kawan ku itu tinggal di K.L. Oleh kerana nak sangat belajar buat biskut tu aku pun layari Youtube...Dari situ aku dapat satu blog Hamba Allah ni yang jadi pengasas VFC. Jadi aku pun E-Book cara-cara belajar buat dari dia secara online dengan harga RM 200.00. Kelemahan belajar secara online ni kita tidak dapat belajar teknik membuat reka bentuk. Bagi orang yang kreatif adalah mudah tetapi bagi orang yang baru hendak berjinak-jinak dengan biskut ni mungkin akan alami kesulitan. Oleh kerana kesungguhan hati hendak belajar buat VFC ni maka inilah hasilnya....



acar buah



       Hari ni aku masak acar buah. Bahan-bahan acar sudah lama aku beli. Cuma hari ini aku benar-benar rasa nak memasak. Lama juga aku duduk bertapa di dapur hari ini. Walaupun bahan-bahan sudah sedia tapi lama juga aku berada di dapur. Banyak juga bahan yang telah aku sediakan. Patut la peti ais aku penuh tempohari. Selepas aku keluarkan semua bahan-bahan acar tersebut lapang aku tengok peti ais tu...

   
Hasil masakan aku hari ni

       Hari Jumaat lepas pada tanggal 12hb. Oktober 2012 aku pergi ke kelas demo deco cake. Lama dah aku nak belajar cara buat cake dan deko. Pada hari tu aku menghadiri kelas demo bersama chef Khairi Anuar. seronok juga boleh tengok sendiri seorang chef buat deco kek. Selalu aku buka youtube aja bila nak buat kek atau deko. Hari tu aku boleh tengok lebih dekat dan sempat dapat tip-tip berguna dari chef Khairi.Cantik sangat-sangat...teringin aku nak buat macam tu....

gambar di bawah chef sedang buat deco sambil dibantu oleh pekerja HL bakery

 



Black Forest Cake, Hokkaido Cake dan White Chocolate Macadamia Cake
                                                                                                                                                 

Wednesday 16 May 2012

TUKANG MEMBERSIH HALAMAN

Baru- baru ini aku ada mengupah seorang tukang membersih halaman rumah. Sebelum ini aku tidak pernah mengupah sesiapa pun untuk membersih halamanku. semua aku buat sendiri atau suamiku yang menolong membersih atau memotong rumput. Semua kelengkapan ada untuk menyelengara kerja pembersihan, cuma tenaga yang diperlukan. Sebelum ini aku agak rajin untuk buat kerja-kerja di halaman tetapi sejak kebelakangan ini aku jadi malas ditambah dengan hujan kerap turun. Panas pun agak terik ataupun panas melampau walaupun waktu baru menjenguk pukul 8.30 pagi. Aku cukup tidak tahan dengan panas mulalah rasa naik bebinau mata. Dek kerana kemalasan aku, rumput pun bermaharajalela lah. Aku mula rasa rimas sebab rumput Filipina aku mula bercampur dengan rumput lain. Jadi nak melegakan rasa rimas aku tu, aku pun upah orang buat kerja-kerja membersih.

Aku pun mengarah tukang bersih tu mencabut rumput yang berlainan dari rumput Filipina tu. Mula kerja tu aku puas hati la....Hari tu tukang bersih tu buat separuh hari sambung keesokan hari. Pada hari kedua pun buat separuh hari. Hari ketiga dia bawa mesin rumput. Aku tidak peduli la bila dia sedang mesin rumput di tempat aku suruh....Setelah siap petang tu aku pun bayar la upah.

Pada keesokan hari ketika aku sedang menyiram pokok baru aku perasan yang pokok aku banyak di cabut dan dimesin...Huarrr...cepat jantung aku berdegup. Rasa nak marah ada, geram pun ada tapi dah terlambat...Pokok lada aku dia potong, patut la aku tengok pokok aku layu dan kering. Bila aku perhati pangkal pokok, dia dah terputus. Punya la lama aku dok jaga bagi gemuk, daun dah besar-besar. Lain kali aku tak mau upah orang bersih laman. Biar aku buat sendiri, cuma aku saja yang tahu nak membersih lamanku. Bukan setakat pokok lada tu aja, pokok panjat dinding pun dia cabut habis. Aduh!!!! kecewanya aku....Dah la pokok tu lambat menjalar melekat dinding. cukup lah sekali aku bagi peluang pada orang berbakti pada halamanku......

Saturday 4 February 2012

Harapan

Sejak kebelakangan ini aku rasa malas sangat....Dulu aku rasa letih bila kerap sangat travel ambil anak sekolah. Sekarang anak-anak sudah masuk asrama tinggal anak yang kecil aja...perasaan itu masih lagi melekat, rasa letih , malas, semua kerja macam tidak menjadi...tahu-tahu masa meninggalkan aku kebelakang...aku masih duduk di takuk lama. apa nak jadi dengan aku ni. Aku menjadi seorang yang tidak ada wawasan, tidak ada cita-cita, tiada semangat dan tiada jatidiri yang membina. Ku rasa aku jauh ketinggalan, sepatutnya aku terus maju ke depan dengan penuh semangat, dah penuh harapan. Adakah faktor umur aku yang menjadikan aku begini, atau pun sememangnya setiap suri rumah tersekat pemikiran mereka seperti aku. Aarh.... perlukah aku memikirkan semua ini...

Monday 30 January 2012

Rose bunga ku


Hari ini aku terasa satu kehilangan bila pokok bunga rose ku telah mati. Hayat pokok bunga itu sudah hampir 20 tahun. Aku tanam semasa aku masih remaja. Masih sekolah menengah lagi. Aku bawa pokok bunga rose ikut berpindah bersama setelah aku berkahwin. Setiap kali aku berpindah pasti aku bawa semua pokok bunga kesayanganku. Pokok bunga rose inilah yang paling lama aku tanam. Setelah sekian lama aku menjaganya dia mati tanpa ku sedari disebabkan kesibukan aku. Aku terlepas pandang menjaganya....